Skip to main content

Bab: Takjub Terhadap Penciptaan Masa


Muka Surat: 85-86

Seseorang yang dilihat menderita sepuluh tahun mungkin merasainya lebih pendek daripada seseorang yang menderita perkara yang sama selama setahun. Maka jangan hairan jika kesabaran manusia berbeza. Jangan hairan juga syukur manusia itu berbeza. Sebab, apa yang sama pada zahirnya, belum tentu sama pada batinnya. Akan tetapi hairanlah bagaimana kehebatan ALLAH membahagikan kurniaan-NYA yang kelihatan sama tetapi berbeza disebabkan jarak waktu dan masa.

Masa adalah penentuan ALLAH yang mutlak, justeru insan tidak perlu hairan tentang banyak persoalan berhubung dengan keadilan ALLAH. Seseorang mungkin bertanya di manakah keadilan bagi insan zalim yang meninggal ratusan tahun dahulu yang diazab di kuburnya sehingga kiamat dengan si zalim yang baru meninggal. Jika kiamat masih lambat, seakan tidak adil orang yang mati terdahulu terpaksa melalui waktu azab yang lebih panjang. Semua persoalan ini pada asasnya, kita meyakini keadilan ALLAH. Kedua, dengan memahami bahawa waktu itu sesuatu yang relatif maka kita akan faham secara umum hal ini.

Petikan Daripada:
Aku Ingin Kembara Lagi
Prof. Madya Dato' Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

KARYA BESTARI
GRUPBUKU KARANGKRAF

Comments