Skip to main content

Bab: Surah Yasin Menafikan Kewujudan Azab Kubur?


Muka Surat: 75

Sebahagian daripada kumpulan seperti Muktazilah dan golongan anti hadith menolak keimanan kepada azab kubur. Ini kerana Al-Quran tidak menyebut perkara itu. Pihak Muktazilah menolak azab kubur kerana perkara itu bercanggah dengan logik akal. Pada pendapat mereka, kewujudan azab kubur menunjukkan ketidakadilan Allah s.w.t kerana manusia yang mati semenjak zaman Nabi Adam diseksa dalam tempoh yang lama. Manakala orang yang mati ketika kiamat hampir berlaku hanya diseksa dalam tempoh yang singkat.

Hujah itu kita jawab dengan mengatakan, tempoh lama ataupun sekejap dalam kerangka dunia ini diukur pada pergerakan matahari dan bulan yang mewujudkan hari dan bulan. Alam barzakh pula satu alam yang tidak sama dengan alam dunia. Tindakan mereka yang menyamakan dimensi alam dunia dan alam barzakh adalah tidak tepat. Allah yang maha berkuasa mampu menjadikan alam barzakh sebagai satu alam yang kosong dari ruang masa dan semua orang yang mati dari dahulu hingga ke akhir zaman akan berada dalam tempoh yang sama. Allahu'alm.

Petikan Daripada:
Apabila Tuhan Berbicara - Catatan Seorang Wartawan Al-Quran
Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz

PTS MILLENIA SDN. BHD.

Comments