Skip to main content

Bab: Perkara Bukan Bid'ah


Muka Surat: 32-34

Selain itu, perbuatan Saidina Umar r.a. menghimpunkan manusia pada bulan Ramadhan dengan seorang imam, iaitu Ubay bin Ka'ab sewaktu menunaikan solat tarawih berjemaah. Sebelum itu, mereka menunaikan solat berjemaah secara berasingan. Menurut Imam Al-Bukhari, daripada Abdul Rahman bin Abdul Qari, beliau mengatakan, "Aku keluar bersama Umar bin Khattab pada satu malam dalam bulan Ramadhan menuju ke masjid. Ramai manusia yang berselerak kedudukan mereka, dengan seorang lelaki bersembahyang seorang diri kemudian seorang lelaki lain turut bersembahyang dengan solatnya sepanjang malam. Lantaran itu, Umar berpendapat, 'Sekiranya aku menghimpunkan mereka dengan mengikut seorang imam, ia adalah lebih baik.' Kemudian, beliau berazam melakukannya dan berjaya menghimpunkan mereka dengan berimamkan Ubay bin Ka'ab. Selepas itu, aku keluar bersamanya pada malam yang lain dan aku dapati mereka bersembahyang mengikut solat imam mereka, lantas Umar mengatakan, 'Alangkah baiknya bid'ah ini.' Sesiapa yang tidur selepas melakukan solat terawih secara berjemaah adalah lebih baik daripada mereka yang mengerjakan pada akhir malam, dan kebanyakkan manusia mengerjakannya pada awal waktu."

Maksud bid'ah menurut ungkapan Saidina Umar 'alangkah baiknya bid'ah' ini merujuk kepada maksud menurut bahasa, bukan menurut istilah syarak. Ini kerana bid'ah menurut bahasa ialah perkara yang direka yang tidak bersandarkan perbuatan yang terdahulu, sesuai dengan gambarannya. Justeru, apa yang dimaksudkan oleh Saidina Umar r.a. adalah manusia tidak dihimpunkan dengan gambaran ataupun cara sebelumnya. Pada asalnya, sesuatu perhimpunan ataupun solat berjemaah dilakukan pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. ini disebabkan baginda mahu menyemai minat kepada mereka bagi mengerjakannya. Ramai yang solat dibelakang baginda. Apabila baginda mendapati bilangan manusia semakin bertambah, baginda menyatakan, "Aku mendapati kalian melakukannya dan ia tidak menghalang aku daripada keluar ke masjid. Sesungguhnya, aku khuatir ia akan menjadi perkara fardhu kalian."

Kebimbangan ini adalah, bimbang Allah s.w.t. menjadikannya satu perkara wajib dan fardhu, sedangkan ia hilang dengan kewafatan Nabi. Apabila baginda wafat, tegahan kepadanya juga hilang.

Petikan Daripada:
Sunnah Vs Bid'ah
Yusuf Al-Qaradhawi Ph.D

PTS ISLAMIKA SDN. BHD.

Comments