Skip to main content

Bab: Bersendiri pada Ilmu dan Amalan


Muka Surat: 58-59

Orang-orang kita banyak benar yang lemah pada mengerjakan amal ibadat, iaitu usaha-usaha yang merupakan ketaatan dan kehambaan kepada Tuhan dengan memperbuatnya sendiri sebagai mana yang disuruh dalam agama Islam. Bahkan, tidak sedikit mereka yang cenderung berharap kepada pertolongan orang lain sahaja, seperti berharap kepada doa tok-tok lebai, tok-tok guru dan tok-tok alim, atau berharap kepada sedekah tahlil mereka itu dan sebagainya, apabila telah masuk ke dalam alam arwah (sudah mati) kelak. Maka terutama sekali mereka berperasaan demikian jika mereka orang yang jahil pekat dalam agama atau orang yang mampu membayar atau mengupah!... Perasaan begini tentulah sangat patut dibuang dan dihapuskan, atau sekurang-kurangnya hendaklah diubati; kerana sesungguhnya bukanlah begitu yang disuruh oleh agama Islam. Suruhan Islam ialah tiap-tiap seorang hendaklah berusaha sendiri mengerjakan amal-amal yang baik untuk ibadatnya dan menjauhi amal-amal yang jahat atau maksiatnya. Jika membaca-baca dalam kerja-kerja ibadat hendaklah pula dengan cukup mengerti tiap-tiap apa yang dibaca itu; dan segala perbuatan yang dikerjakan untuk ibadat hendaklah juga sebaik-baiknya dengan mengerti akan tujuannya dan hikmatnya. 

Petikan daripada: 
Perangai Bergantung pada Diri Sendiri
Za'ba

Dewan Bahasa dan Pustaka

Comments