Skip to main content

Bab: Apabila Agama Menghakis Tuhan


Muka Surat: 95-96

Seperti yang kita tahu, Galileo Galilei seorang ahli fizik, matematik dan astronomi (1564-1642) telah dihukum oleh gereja. Bukunya disenarai 'haram'kan oleh pihak gereja sehingga tahun 1835. Namun, pada tahun 1992, Pope John Paul II dalam usaha untuk me'relevan'kan agama Kristian yang makin mendapat kritikan, beliau telah membuat kenyataan umum menyesali tindakan dan layanan gereja terhadap Galileo.

Apabila menyebut kisah ini saya selalu teringatkan tindakan pihak berkuasa agama di Malaysia mengharamkan beberapa buku yang tidak serasi dengan mereka. Sebahagian buku itu tidak ada bukti jelas bercanggah dengan Islam seperti buku 'Pelik Tapi Benar' tulisan Ustaz Abdul Rahman Mohamed dari Singapura. Tanpa ada sebarang dalil putus, pihak jawatankuasa agama di Malaysia mengharamkan buku seperti ini.

Hanya kerana 'tidak sama selera'. Lebih malang, yang mengharamkan itu pun tiada sebarang karya ilmiah yang boleh diangkat. Malaysia perlu berubah. Ada banyak pengurusan kita perlu dirombak. Jika tidak, krisis permusuhan atas nama agama yang dipergunakan akan terus berlarutan. Kita patut mengambil iktibar apa yang telah berlaku kepada gereja.

Islam dalam sejaranya tidak memusuhi ilmu. Bahkan Islam agama dialog dan hujah. Berapa banyak ayat dalam al-Quran yang mengajak kepada dialog dan memerhatikan ciptaan alam. Tidak seperti Kritstianiti, sains berkembang di bawah Islam. Antara kurun kelapan dan keempat belas, sainstis Muslim telah begitu tekun mengembangkan sains. Dunia tidak dapat menafikan sumbangan agung tersebut sehingga dipanggil 'Islam's Golden Age.'

Petikan Daripada:
Aku Ingin Kembara Lagi
Prof. Madya Dato' Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

KARYA BESTARI
GRUPBUKU KARANGKRAF

Comments